Konsortium Baja Nasional Bantu Petani Dalam Agensi Di Bawah KKLW

December 21, 2006 21:55 PM

CYBERJAYA, 21 Dis (Bernama) — Penubuhan Konsortium Baja Nasional (KBN) yang bertujuan untuk membantu para petani yang berada dalam agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah dipersetujui oleh Kementerian Kewangan.

Menterinya Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata dengan adanya KBN ia secara tidak langsung dapat mengawal kualiti dan harga baja bagi kegunaan agensi-agensi pertanian yang berada di bawah kementeriannya.

“Konsep KBN telah ada dan telah dipersetujui, ia bakal memberi kemudahan yang banyak kepada para petani khusus dalam agensi di bawah kementerian ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar tahunan lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) anak-anak syarikat milik agensi di bawah KKLW di sini Khamis.

Sebanyak RM400 juta dibelanjakan setahun oleh lima buah agensi di bawah kementerian itu untuk tujuan pembelian baja, oleh itu, katanya, dengan adanya konsortium berkenaan, harga baja dapat dikawal sepenuhnya dan jimat.

Lima agensi tersebut ialah Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Aziz juga berharap KBN dapat dilaksanakan pada tahun depan dan kementerian akan bertindak sebagai pemantau manakala pihak yang akan menguruskan konsortium itu akan dipilih daripada agensi yang berada di bawah kementerian itu.

Selain itu, katanya, tujuan penubuhan KBN itu juga adalah untuk mewujudkan kepakaran penggunaan teknologi dalam bidang yang berkaitan yang datang dari kalangan masyarakat setempat.

“Dengan adanya kepakaran ini kita akan dapat bersaing dalam pasaran global yang begitu terbuka,” katanya.

Seminar dua hari bermula hari Khamis itu dihadiri oleh 106 peserta daripada Risda, FELCRA Berhad, Ketengah dan Kesedar.

Sumber: www.bernama.com