Kementerian lulus wujud Konsortium Baja Nasional

Cyberjaya 21 Dis:Kementerian Kewangan meluluskan penubuhan Konsortium Baja Nasional yang akan menggabungkan operasi pembajaan untuk lima agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.Konsortium itu dijangka menjimatkan kos pembelian, penggredan dan pengedaran baja untuk pekebun kecil di seluruh negara yang kini mencecah sehingga RM400 juta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, berkata konsortium itu akan beroperasi tahun depan selepas kumpulan pengurusannya dilantik oleh kementerian terbabit.

Katanya, matlamat penubuhan konsortium berkenaan adalah mendapatkan baja lebih baik pada harga optimum bagi meningkatkan hasil tanaman serta pendapatan pekebun kecil. Beliau berkata, konsortium itu juga membolehkan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mendapat bekalan baja berterusan sama ada diimport atau baja tempatan pada harga munasabah.

“Dengan konsortium ini, kita sendiri akan mengawal bekalan baja, menggred semula dan mengedarkan baja mengikut kualiti tertentu untuk kebaikan orang kampung dan pekebun kecil. Sekarang orang lain yang mengawal bekalan dan harga baja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perjumpaan tahunan ketua agensi kementerian berkenaan di Cyberjaya semalam.

Abdul Aziz berkata, lima agensi menyertai Konsortium Baja Nasional ialah Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Katanya, gabungan bagi operasi pembajaan bagi semua agensi itu akan membawa kebaikan kepada pekebun kecil dan agensi berkenaan kerana mereka akan mendapat bekalan secara berterusan pada harga munasabah.
Beliau berkata, hasil tanaman pekebun kecil perlu ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia terus bersaing dengan negara lain yang semakin agresif membangunkan industri komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Katanya, Indonesia kini mengatasi Malaysia dari segi pengeluaran hasil kelapa sawit, manakala Thailand dan Indonesia mendahului negara ini bagi pengeluaran getah.“Dari segi jumlah tanah, ladang getah Indonesia lebih luas tetapi hasil getah di Thailand lebih tinggi, bermakna mereka menggunakan baja baik dan klon terbaru.“Kita juga mesti menggunakan baja yang baik dan klon tanaman baru untuk meningkatkan hasil, jika tidak kita akan ketinggalan,” katanya.

Sumber: www.e-kerajaan.com